Filled Under:

Kisah Benar Madu 3 Yang Semestinya Membuatkan Kita Berkata WOW!!


$$%APABILA disebut hal berpoligami, perkara pertama yang pasti dibangkitkan ialah soal kemampuan harta dan wang ringgit. Poligami dianggap hanya hak bagi mereka yang kaya raya.

Ramai lelaki yang mendayungkan hasrat mahu berpoligami, akhirnya terpaksa berpatah balik disebabkan masalah itu.

Kisah kehidupan Rosdi Yusof, 48, dengan tiga isterinya - Suriawati Awang, 39; Mazni Yaacob, 38, dan Azwanaliza Mohd Rawi, 35 - jadi contoh betapa kekayaan harta dan wang ringgit bukanlah syarat utama yang yang mesti dipenuhi untuk berpoligami.

Rosdi lelaki biasa, orang kampung yang hidup sederhana. Yang menjadikannya luar biasa ialah kemampuannya memimpin sebuah keluarga besar - seorang ayah, tiga ibu dan 12 anak - dengan bahagia, cukup segala keperluan.

Lebih luar biasa lagi, kesemua mereka tinggal sebumbung. Tertarik dengan cerita yang didengar mengenainya, wartawan Sinar Harian berkunjung ke rumah Rosdi di Estet Bukit Abu, Dabong, Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini.

Mujurlah ketika kunjungan itu, mereka berempat ada di rumah. Hujan malam sebelumnya menyebabkan mereka tidak keluar menoreh.

“Masuklah,” jemput isteri pertama Rosdi, Suriawati sambil mengajak ke ruang tengah rumah. Rupa-rupanya itu rumah Azwanaliza - isteri ketiga - sementara rumah Suriawati sendiri dan isteri kedua, Mazni, di kanan dan kiri. Kesemua rumah mereka bersambung di bawah satu bumbung.

Selepas dimaklumkan tujuan ketiga -tiga isteri Rosdi memberikan kerjasama cuma isteri ketiga segan untuk bergambar dan menolak dengan baik.

Suriawati nyata begitu peramah. Dia tidak lokek berkongsi cerita kebahagiaan rumah tangga yang dilayari bersama suami dan dua madunya.

Katanya, perasaan cemburu, iri hati harus diketepikan  - meskipun pasti sukar pada mulanya - demi untuk mengecap bahagia kerana perasaan itulah yang selalunya mengkucarkacirkan kehidupan berumah tangga terutama bagi yang bermadu.

Sambil bercerita,  sesekali dia memandang ke arah kedua-dua madu dan suaminya yang leka mendengar. Sambil melayan anak masing-masing, Mazni dan Azwanaliza sesekali mengiyakan apa yang diperkatakan oleh Suriawati.


Cemburu

Ibu kepada empat anak ini  mendirikan rumah tangga pada 1991 ketika berusia 15 tahun dan mula bermadu pada 1994 tatkala usianya 18 tahun. Bayangkan dalam usia semuda itu, ketika kebanyakan wanita lain belum pun megecap hidup berumahtangga, Suriawati sudah punya pengalaman istimewa.

Mengimbas apa yang dilaluinya, Suriawati bercerita, ketika dia baru  bersalin anak kedua, suami beritahu mahu berkahwin lagi.

“Siapa yang tak terkejut? Tambah pula dalam keadaan macam itu., abang minta nak kahwin lagi.”

Tetapi kata Suriawati, sebagai isteri yang seharusnya menghormati dan mentaati suami - juga kerana suaminya sendiri berterus terang akan hajatnya itu secara baik - dia berasa dirinya tidak punya sebab untuk membantah.

“Walaupun berasa payah nak sebut mulanya tetapi demi kebahagiaan suami, kak reda. Yang penting dia janji akan jaga kak dan anak-anak dengan baik seperti sedia kala,” katanya.

Bukan setakat bersetuju, Suriawati bahkan membuktikan  kata-kata untuk terima madunya, Mazni yang ketika itu berusia 17 tahun seadanya. Dia cuba untuk tidak melayan sebarang rasa curiga dan cemburu yang sememangnya sukar untuk dikikis.

“Kak tak mahu mengalah pada hasutan syaitan dan juga perasaan diri sendiri yang tidak baik. Kalau kita layan, sudah tentu hidup kita sendiri akan jadi huru-hara, jadi alang-alang sudah bersetuju, lebih baik kita berbaik sangka,” katanya.

Sejak itu, mereka terus tinggal sebumbung. Orang lain mungkin sukar untuk percaya tetapi hakikatnya, atas kebijaksanaan suami mengendalikan bahtera rumah tangga, mereka menjalani kehidupan bersama tanpa masalah.

Ketika Mazni bersalin, Suriawati bukan setakat menjaga makan minum suami dan anak-anak yang ketika itu masih kecil, malah turun menjaga madunya. Begitu juga ketika dia sendiri bersalin, Mazni menjaga segala keperluannya sepanjang tempoh berpantang selain menguruskan rumah tangga seperti biasa.

“Hubungan dan persefahaman yang baik menyebabkan kami tidak ada sebab untuk berbalah atau bermasam muka,” katanya.

2004, Rosdi sekali lagi menyuarakan hasrat mahu tambah isteri. Kali ini, Azwanaliza, 24 tahun. Sudah ada pengalaman dan persepsi positif terhadap kehidupan berpoligami, tidak jadi masalah bagi Suriawati dan Mazni untuk menerima kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.-sinar harian