Filled Under:

SANGAT MENGUJAKAN!! Kisah Benar Disebalik Kejayaan Wanita Pertama Malaysia Berjaya Miliki Supercar BMW i* Berharga RM1.2 Juta!!


$%“BOLEH panggil Kak Elly. Semua orang panggil saya dengan gelaran itu walaupun dia lebih berusia,” tutur jutawan Melayu, Norhaili Ahmad Mokhtar yang menyambut kedatangan kru Jurnal ke pejabatnya yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Status Elly sebagai jutawan muda sedikit pun tidak tenggelam dalam sifat merendah diri. Bahkan wanita berusia 36 tahun ini nampak lebih terampil dengan gayanya yang mudah mesra. Biarpun dipanggil dengan nama Kak Elly, dia tetap dihormati.

Elly ada alasan sendiri mengapa dia tidak menjadi sombong biarpun memiliki status tersebut. Bahkan dia enggan meletakkan sempadan dengan orang lain kerana pernah berada dalam kalangan orang biasa.

“Saya pernah merasai kepayahan hidup. Kami empat beradik dibesarkan sederhana dalam keluarga penjawat awam. Setelah berpindah ke Kuala Lumpur dari Gambang, Pahang, hidup kami semakin susah apatah lagi ayah meninggal dunia pada usia saya 18 tahun.

“Ketika itu ibu juga sudah bersara awal sebagai kakitangan kerajaan. Pergi ke kedai pajak gadai adalah perkara biasa. Bahkan bagi menjana pendapatan lebih, saya juga pernah berniaga kain batik dan nasi lemak semasa menuntut di universiti.

“Jadi, tiada sebab untuk saya menjadi sombong dengan rezeki yang dimiliki sekarang. Apatah lagi pernah merasai pengalaman berada di tempat mereka yang susah. Dihormati bukan untuk orang kaya sahaja,” luah Elly, anak kedua dalam keluarganya.

Elly memegang gelaran jutawan pada usia 25 tahun. Impiannya untuk hidup senang menjadi kenyataan setelah bertukar kerjaya daripada seorang juruaudit kepada perunding unit amanah saham pada tahun 2002.

Dia nekad melepaskan jawatan yang menawarkan gaji sebanyak RM1,750 sebulan itu bagi mencapai impiannya untuk keluar daripada kepompong kepayahan hidup.

Titik mulanya sebagai ejen unit amanah bermula dengan bermentorkan pasangan adik-beradik jutawan dalam bidang itu, Nor Akmar Hanif dan Aida Nurlin Hanif. Elly cukup bertuah kerana mendapat inspirasi daripada mereka yang berpengaruh dalam dunia perniagaan tersebut.

“Seperti orang lain, saya juga berdepan kesukaran ketika kerjaya baharu bermula. Saya perlu bersedia dengan penolakan daripada mereka yang mahu didekati.

“Selain itu, faktor kewangan juga memberi cabaran kerana kami tiada gaji tetap dan bersandarkan komisen daripada jualan unit saham semata-mata.

“Pada masa itu, sekali lagi saya terpaksa menggadaikan barang kemas pusaka demi menyara hidup pada bulan pertama kerana wang yang banyak diperlukan untuk membayar bil telefon.

“Salah satu cara berkesan untuk mendapatkan klien baharu adalah menerusi telefon, itu antara kaedah pemasaran yang saya gemar lakukan.

“Tetapi usaha keras saya berbaloi kerana pada bulan pertama, pendapatan yang diperoleh sudah mencecah RM5,000, pada bulan kedua sebanyak RM15,000 dan mendapat RM40,000 pada bulan ketiga.

“Selepas tiga bulan, hidup saya berubah secara total. Ketika itu saya sudah mampu membayar wang pendahuluan untuk membeli kereta idaman berjenama BMW 3 Series Sport,” katanya yang terlibat dalam syarikat perniagaan unit saham amanah, Public Mutual Berhad.


SIFAT tidak mengalah kepada halangan meletakkan Elly sebagai antara perunding unit saham amanah paling berjaya di negara ini.

Rahsia

Biarpun ada turun naik, namun graf prestasi Elly menunjukkan peningkatan pada saban tahun. Selain telah bergelar Pengurus Agensi Kumpulan yang merupakan jawatan tertinggi dalam perniagaan tersebut, Elly juga berjaya menubuhkan kumpulan agensi sendiri, EB Champion United pada tahun 2005.

Di EB Champion United, Elly berjaya menghasilkan 10 orang ejen yang berjawatan sama dengannya berserta lebih 2,000 orang perunding unit saham amanah yang terdiri daripada pelbagai latar pendidikan.

Lebih membanggakan apabila nama Elly berjaya memecah dominasi bukan bumiputera dalam perniagaan tersebut. Buat julung kalinya pada tahun 2008, Elly mendapat anugerah Pengurus Agensi Kumpulan No. 1 selama lima tahun berturut-turut.

“Sejak perniagaan unit amanah saham ini diperkenalkan sekitar tahun 1980-an, belum ada orang Melayu yang berjaya mendapat gelaran tertinggi itu, bahkan tidak ramai yang menyertai kerjaya ini yang suatu ketika didominasi oleh bukan bumiputera.

“Kejayaan besar telah terukir apabila nama saya dipanggil ke pentas dalam upacara penganugerahan tahunan sejak 2008 hingga 2012. Insya-Allah pada tahun ini, kita akan menang lagi,” katanya bersemangat.

Semenjak tahun 2005 hingga April tahun ini agensi yang diketuai oleh Elly berjaya mencatatkan jualan unit saham amanah sebanyak RM1.22 bilion. Ia merupakan catatan tertinggi seluruh negara berbanding agensi lain.

Biarpun dilihat sebagai seorang yang berjaya, Elly yang kini memandu jentera berjenama BMW X6 dan Porsche Cayman menyasarkan untuk mengubah statusnya daripada jutawan kepada bilionair.

“Saya menyasarkan untuk bergelar bilionair pada usia 45 tahun iaitu kira-kira sembilan tahun lagi. Ia tidak mustahil jika saya berusaha mencapainya,” kata Elly yang mengimpikan bercuti di lokasi idamannya di Monaco.

Mendedahkan rahsia bagaimana mahu berjaya, Elly menjelaskan bahawa segalanya bermula daripada tindakan diri kita sendiri.

“Ditolak dan dihalau dalam pelbagai cara sama ada kasar atau lembut adalah lumrah dalam dunia kerjaya ini terutamanya kepada mereka yang tidak faham tentang unit amanah atau tidak ada masa untuk mendengar penerangan. Jadi sebagai seorang perunding, kita perlu pandai mengambil hati mereka dengan cara berkomunikasi yang betul.

“Kalau ditolak, janganlah berasa sedih atau berputus asa. Jangan fikirkan sangat tentangnya kerana ia boleh membuatkan kita menjadi semakin negatif. Sebaliknya fikir dan ‘hiburkan’ matlamat kita. Biar matlamat menguasai perasaan itu,” katanya jujur.-kosmo online